Jumaat, 22 Julai 2011

Tafsir Al-Quran : Surah Al-Buruj (Gugusan Bintang)

Dimulai dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  1. Demi langit yang mempunyai kelompok bintang (iaitu bintang-bintang yang dua belas);
  2. Dan demi hari (pembalasan) yang dijanjikan;
  3. Dan demi yang hadir menyaksikan hari itu serta segala yang disaksikan.
  4. Binasa dan celakalah kaum yang menggali parit.
  5. (Parit) yang berapi penuh dengan bahan bakar.
  6. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya;
  7. (Sambil) mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang yang beriman;
  8. Dan mereka (orang yang menggali parit) tidak menyeksa orang mukmin itu melainkan kerana mereka itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Terpuji!
  9. Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah) Allah sentiasa menyaksikan segala sesuatu.
  10. Sesungguhnya orang yang mendatangkan bahaya (seksa, bunuh dan sebaginya) kepada orang lelaki dan wanita yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahannam dan mereka akan beroleh azab api yang kuat membakar. 
  11. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal salih, mereka akan beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.
  12. Sesungguhnya azab Tuhanmu (terhadap orang yang kufur ingkar) amatlah berat.
  13. Sesungguhnya Dialah menciptakan (sekelian makhluk) pada mulanya dan mengembalikannya (hidup semula sesudah mati);
  14. Dan Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.
  15. Tuhan yang mempunyai 'Arasy yang tinggi kemuliaannya.
  16. Yang Berkuasa melakukan segala yang dikehendaki-Nya.
  17. Adakah sudah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal kaum-kaum yang menentang (rasul-rasul yang diutus kepada mereka)?
  18. (Iaitu kaum) Firaun dan (kaum) Thamud.
  19. Bahkan orang yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan mendustakan kebenaran.
  20. Sedangkan Allah, mengepung mereka (dengan kekuasaan-Nya) dari belakang mereka.
  21. (Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya.
  22. (Yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) dalam Lawh Mahfuz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan